Tiga tahun terlantar sakit dan nazak tetap tidak memutuskan nyawa Mek Siah. Dalam keadaan tubuh yang tinggal tulang bersalut kulit, Mek Siah masih mempertahan apa yang dimilikinya. Dia merasakan dirinya masih muda dan kuat. Tidak mahu berpisah dengan apa yang menghuni tubuhnya. Pada waktu yang sama penyesalan demi penyesalan di atas keterlanjuran di waktu silam sering menghantui. Di dalam keadaan yang semakin lemah, Mek Siah mahu mencari pewaris untuk pendamping yang sudah sekian lama berkhidmat untuknya.
Tiga tahun juga Hanum menjaga Mek Siah dengan sabar. Biarpun dia hanya seorang menantu, namun dia lebih tahu apa yang ditanggung oleh ibu mentuanya. Baginya Mek Siah bukan lagi ibu mentuanya. Ada sesuatu yang menghuni jasadnya. Hanum seringkali berhadapan dengan perkara yang pelik dan menyeramkan. Tanpa sedar, dirinya sedang diperhatikan oleh sepasang mata yang tidak kelihatan jasadnya. Darah Hanum yang manis turut menjadi idaman Mek Siah. Di antara rela dan paksa, Hanum bersetuju mewarisi apa yang menjadi milik Mek Siah.
Tidak disangka kisah puluhan tahun yang lalu terpaksa dibongkar. Haji Lamin sabar mencari jawapan bagi setiap persoalan. Dia dapat melihat api dendam di dalam diri Mek Siah. Sekali gus dendam itu telah menyeksa jasadnya. Jasad yang seharusnya telah ditinggalkan, terdera dengan seizin Mek Siah sendiri. Kemarahan Haji Lamin terhadap Mek Siah juga terpaksa dilupakan. Dia melakukan semuanya di atas rasa ihsan dan demi mengenangkan persahabatannya dengan suami Mek Siah, Daud. Tekad Haji Lamin, Mek Siah harus kembali ke asal. Tidak mengira sama ada dalam keadaan hidup atau pun mati.