“Dinding emas perak lidah kita, bahawa tak terlintas di hati mahu menjadi raja. Kerja menjadi raja itu banyak tanggungjawabnya. Tak terpikul kita.”
Bagi Sultan Alauddin, menduduki takhta bukanlah mercu cita-cita baginda. Sedari kecil, jawatan itu hanya mendatangkan nasib buruk sahaja hingga diancam bunuh oleh kakanda lalu tersisih daripada kehidupan masyarakat. Namun takdir Tuhan mempertemukan baginda dengan sang tua yang akhirnya membentuk Sultan Alauddin menjadi peribadi yang kaya dengan ilmu dan serba-serbi berkenaan pentadbiran negara.
Sekali lagi, takdir membawanya pulang ke tampuk kepimpinan. Jawatan Sultan bukanlah dijadikan kebanggaan, melainkan untuk menegakkan keadilan semata. Meski keputusan-keputusannya sering bertingkah dengan adat dan suara majoriti, Sultan Alauddin pantang surut walau selangkah.